guru sk serilalang

Selasa, 17 Mac 2009

CERITA HUTAN

CERITA HUTAN
DITERIMA SEBAGAI AHLI KUMPULAN SERIGALA
Ada suatu adat Kumpulan Serigala yang tinggal di hutan itu. Apabila anak-anak serigala sudah agak besar, mereka mestilah ditunjukkan kepada semua anggota Kumpulan. Mereka mengadakan Sidang Kumpulan sebulan sekali pada malam bulan purnama di kawasan berbatu-batu yang dipanggil Batu Sidang. Di sinilah nasib anak-anak serigala ditentukan, sama ada diterima sebagai anggota Kumpulan atau sebaliknya. Apabila seekor anak serigala sudah diterima sebagai anggota Kumpulan, tidak seekor serigala lain pun boleh membunuhnya, dan jika ada yang membunuh, hukumannya ialah bunuh juga. Bapa Serigala menunggu sehingga anak-anaknya termasuk Mowgli, sudah boleh berlari-lari. Kemudian, pada suatu malam bulan purnama, Bapa dan Ibu Serigala pun membawa anak-anak mereka ke Batu Sidang itu. Apabila semua anggota Kumpulan sudah berada di situ dengan anak masing-masing, Ketua Kumpulan, seekor Serigala Jantan yang gagah lagi bijaksana bernama Akela, mula menyuruh ibu-ibu serigala menunjukkan anak masing-masing untuk dilihat oleh anggota-anggota Kumpulan. Akhirnya tibalah kepada giliran Mowgli. Dia sedikit pun tidak menunjukkan rasa takut sebaliknya bergurau dengan anak-anak serigala lain seolah-olah dia pun serigala juga. Apabila Akela menyuruh anggota-anggota Kumpulan melihat Mowgli dan membuat keputusan, tiba-tiba Shere Khan mengaum dari belakang batu besar. "Anak manusia milikku. Berikan dia kepadaku semula kerana anak manusia tidak layak hidup bersama kumpulan Serigala!" katanya. Setelah senyap seketika, mulalah beberapa ekor anak serigala yang sudah agak dewasa menyatkan rasa tidak setuju mereka menerima Mowgli. Mengikut Undang-undang Hutan, apabila timbul perselisihan begitu, dua anggota Kumpulan yang bukan ibu atau bapa kepada anak serigala itu mestilah bercakap menyokongnya baru dia diterima menjadi anggota Kumpulan. "Siapakah antara anggota Kumpulan yang bersedia menyokong?" tanya Akela, Ketua Kumpulan. Tidak seekor pun anggota Kumpulan itu bersuara dan Ibu Serigala pun bersedialah hendak bertempur bermati-matian untuk mempertahankan Mowgli. Seekor binatang lain yang bukan anggota Kumpulan itu tetapi dibenarkan bercakap dalam Sidang Kumpulan ialah Baloo, seekor beruang tua yang menjadi guru mengajar anak-anak serigala Undang-undang Hutan. Setelah tidak ada serigala yang lain bercakap, Baloo berdiri di tempatnya di belakang Batu Sidang dan menyokong supaya Mowgli diterima sebagai anggota Kumpulan. Dia sendiri berjanji akan mengajar Mowgli. Tetapi Mowgli memerlukan lagi satu suara menyokongnya. Ketika Akela meminta sokongan lagi, Bagheera, seekor Harimau Kumbang yang tangkas tetapi baik hati, tiba-tiba bercakap. Walaupun dia tidak berhak bersuara, tetapi mengikut Undang-undang Hutan, nyawa seekor anak serigala boleh ditebus dengan seekor buruan. Dia akan menghadiahkan seekor lembu jantan yang baru dibunuhnya dan disembunyikan tidak jauh dari situ untuk menebus nyawa Mowgli supaya diterima sebagai anggota Kumpulan. Anggota-anggota Kumpulan segera bersetuju menerima Mowgli sebagai anggota apabila mendengar hadiah lembu jantan yang ditawarkan oleh Bagheera itu. Mereka turun dari bukit dan pergi beramai-ramai mendapatkan buruan itu dan tinggallah Akela, Bagheera, Baloo dan keluarga Mowgli saja di Batu Sidang itu. Shere Khan mengaum lagi sekuat hatinya, terlalu marah kerana budak itu tidak diserahkan kepadanya. Tetapi Akela berkata keputusan itu amat baik kerana manusia dan anak mereka memang baik dan Mowgli akan dapat memberi pertolongan kepada suatu hari kelak.

4 ulasan:

  1. terima kasih cikgu. saya mohon share perkongsian ini

    BalasPadam
  2. kenapa panjang ni lagipun saya muda pengakap cikgu sk desa pandan suruh tulis cerita hutan kenapa panjang saya nak yang pendek boleh tak

    BalasPadam
  3. kenapa panjang ni lagipun saya muda pengakap cikgu sk desa pandan suruh tulis cerita hutan kenapa panjang saya nak yang pendek boleh tak

    BalasPadam